Tazkirah

Saturday, April 9, 2011

SUB-NKRA TAWARAN BARU UNTUK GURU BESAR DAN PENGETUA

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Tahniah dan syabas serta penghargaan kepada sekolah-sekolah yang berjaya diberi pengiktirafan Bai’ah (New Deal). Seramai 586 guru besar dan 2800 guru serta kakitangan sokongan akan menerima ganjaran ini. Tawaran ini merupakan satu usaha baru kerajaan untuk memberi ganjaran kepada pengetua dan Guru Besar yang berupaya meningkatkan kecemerlangan sekolah berdasarkan satu kontrak perjanjian Bai'ah di antara pengetua dan guru besar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui kepimpinan sekolah yang berkualiti, adalah diharapkan agar pembangunan modal insan kelas pertama dapat dijana sehingga ke persada antarabangsa.

Sub-NKRA tawaran baru untuk guru besar dan pengetua yang diberikan kepada mereka yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah mereka. Semoga sekolah-sekolah yang ditawarkan New Deal ini akan terus cemerlang dan anugerah ini akan menyuntik semangat warga sekolah untuk terus melakukan perubahan dan penambahbaikan. Berikut merupakan petikan daripada sub.NKRA tersebut:-

SUB-NKRA 2: Bai’áh (New Deal)

Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan, kerajaan akan menawarkan new deal atau Bai’ah kepada kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Pemimpin pendidikan yang terlibat dengan bai’ah akan diberi insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan sekiranya pencapaian mereka melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

Performance Based Assessment digunakan untuk mengenalpasti tahap pencapaian dan kecemerlangan pemimpin pendidikan di sekolah. Langkah ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kualiti pemimpin pendidikan di sekolah di samping memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki. .”

Langkah ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kualiti pemimpin pendidikan di sekolah di samping memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki.


Kecemerlangan Diri

Perkataan “Cemerlang” atau “berjaya” adalah merupakan perkataan yang sering berada dibibir kita apabila kita hendak melakukan sesuatu tugasan. Ianya juga adalah merupakan satu harapan, keinginan, impian atau satu hala tuju yang akhir bagi diri kita. Tetapi ianya tidak pernah berakhir.

Kecemerlangan ialah kebolehan dan kemampuan diri menggabung dan menggunakan keseluruhan potensi yang dianugerahkan Allah kepada setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu ke jalan yang diredhai Allah. Ianya meliputi memperseimbang dan mempergiatkan pelbagai kecerdasan yang ada pada diri individu ke arah penjanaan minda yang kritis dan kreatif. Ianya adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan individu dan masyarakat umum sepanjang hayat. (Ismail Zain, 1999)


Kecemerlangan Organisasi

Kecemerlangan sesebuah organisasi adalah disebabkan oleh banyak faktor. Walaubagaimanapun ramai pengurus dan penyelidik dalam bidang kepimpinan dan pengurusan cenderung untuk melihat kepimpinan sebagai penyumbang utama atau penyebab langsung kepada pencapaian organisasi. Antaranya adalah Andersen (2002) yang mengatakan bahawa literatur mengenai kepimpinan secara umumnya banyak berasaskan andaian bahawa kepimpinan adalah penyebab kepada keberkesanan organisasi. Selain Andersen, Fiedler (1967) juga berpendapat, kepimpinan berkesan sering dilihat sebagai sesuatu yang amat penting dalam menerangkan atau membuat ramalan tentang kejayaan organisasi. Bennis dan Nanus (1985), menyatakan kejayaan sesebuah organisasi adalah disebabkan oleh kepimpinan. Begitu juga Yukl (1998) yang turut berpendapat, kepimpinan memberi impak yang positif terhadap kejayaan organisasi.


Ganjaran

Dalam dunia ini mana ada manusia yang tidak suka kepada ganjaran. Menurut Kamus Dewan, ganjaran bermaksud hadiah (untuk perbuatan baik dan lain-lain). Justeru itu, mereka yang berjaya meningkatkan kecemerlangan sekolah berdasarkan satu kontrak perjanjian Bai'ah ini sewajarnya menerima ganjaran yang sediakan oleh pihak kerajaan. Baiklah, apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah dua situasi berbeza seperti di bawah:-


Situasi 1

Sekolah A berjaya melonjakkan pencapaian akademik mereka dengan dengan 100% kelulusan di mana 40 daripada 100 calon mereka memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR. Kedudukan sekolah mereka terletak di dalam bandar yang mana populasi ibu bapa yang berpelajaran dan mempunyai taraf sosio ekonomi yang baik.


Situasi 2

Sekolah B pula hanya 5 orang sahaja yang mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR. Berbeza dengan sekolah A, dari segi taraf pendidikan ibu bapa dan sosio ekonomi mereka sangat berbeza. Sesuatu yang menarik mengenai sekolah B ialah keupayaan mereka membimbing dan meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar yang tidak bermotivasi serta kurang baik dari segi pencapaian akademiknya daripada gred D kepada gred C dan B. Ada juga yang mendapat gred A.

Oleh kerana kecemerlangan sekolah A, maka mereka berjaya diberi pengiktirafan Bai’ah (New Deal). Berbeza pula dengan sekolah B. Mereka tidak berjaya ditawarkan New Deal tersebut kerana tidak memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Dalam hal ini, saya mempunyai satu pandangan yang agak berlainan dengan apa yang dibincangkan. Sepatutnya kecemerlangan sesebuah sekolah tidak dinilai semata-mata kecemerlangan akademik dengan melahirkan berapa banyak calon yang mendapat 5A dalam UPSR tetapi berapa ramai pelajar yang kurang baik pencapaiannya dalam pelajaran berjaya meletakkan diri mereka sebaris dengan pelajar cemerlang lain.


Habuan

Dalam tawaran ini guru besar akan menerima RM7500.00, guru cemerlang RM1800.00 dan guru menerima RM900.00. Jika dilihat daripada pecahannya agak mengecewakan. Ini kerana jumlah yang diperolehi oleh guru besar sangat banyak jika dibandingkan dengan guru biasa. RM6600.00 perbezaanya. Satu jumlah yang sangat besar. Memang kita akui bahawa peranan guru besar dalam hal ini tidak boleh dinafikan tetapi mereka harus sedar bahawa yang bekerja adalah guru-guru dan guru besar hanya mengeluarkan arahan sahaja. Justeru itu, saya berpendapat bahawa pengagihan ganjaran ini perlu disemak semula agar kualiti yang mendasari tawaran ini dapat dikekalkan selagi ianya relevan dengan dasar pendidikan negara kita. Untuk mendapatkannya tidak sesukar mana tetapi untuk mengekalkan kecemerlangan itulah yang agak sukar.

Semoga apa yang dirancangkan dapat merealisasikan gagasan 1Malaysia, ”Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Salam 1Malaysia...

(Tulisan di atas adalah idea, pendapat dan pandangan penulis secara peribadi. Harap maklum)

No comments:

BMI CALCULATOR